Artikel

Pulau Pinang Antara 25 Destinasi Terbaik Dunia Untuk Dilawati 2027 – National Geographic

Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai satu-satunya destinasi dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang berjaya tercalon dalam senarai tempat terbaik di dunia untuk dilawati bagi tahun 2027 menerusi terbitan berprestij, National Geographic.

Pengiktirafan antarabangsa ini sekali gus menaikkan lagi reputasi Pulau Pinang di persada dunia sebagai pusat tumpuan pelancong utama yang kaya dengan keunikan warisan, kepelbagaian budaya serta keindahan alam semula jadi. Menurut Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, pemilihan ini didasari oleh pelbagai aspek keunggulan negeri tersebut. Antaranya kualiti perkhidmatan pelancongan yang tinggi, kecekapan kemudahan akses awam, serta komitmen berterusan dalam memelihara alam sekitar dan melindungi tapak bersejarah, budaya, warisan agar kekal terpelihara dalam arus pembangunan moden.

Kejayaan ini menyaksikan Pulau Pinang berdiri sama tinggi dengan 24 destinasi terkemuka antarabangsa yang lain. Antara lokasi tersohor yang turut tersenarai dalam pengiktirafan tersebut termasuklah Vestland (Norway), Luxor (Mesir), Niigata (Jepun), Chengdu (China), Jaipur (India), dan Melbourne (Australia).