Artikel

OCBC Singapura Jadi Bank Asing Pertama Benarkan Simpanan Ringgit – Mulai 23 Oktober

OCBC Singapura kini menempa sejarah baharu dalam sektor perbankan apabila menjadi bank bukan Malaysia pertama yang membenarkan pelanggannya menyimpan mata wang Ringgit Malaysia menerusi akaun simpanan peribadi di Singapura.

Langkah inovatif ini dijangka memberikan kemudahan berperingkat serta nilai tambah yang signifikan, khususnya bagi individu yang kerap berurusan,melancong atau mempunyai komitmen kewangan di Malaysia.

Akses itu akan dimulakan pada 23 Oktober ini, yang mana pemegang Akaun Simpanan Global OCBC dan Akaun Simpanan Global Premier boleh menukar Dolar Singapura (SGD) kepada Ringgit Malaysia (MYR) secara terus dan mengekalkan baki simpanan sehingga RM50,000. Pihak bank turut memberi jaminan untuk menawarkan kadar pertukaran yang kompetitif tanpa sebarang caj yuran transaksi mata wang asing atau gandaan harga yang melampau, sekali gus menjimatkan kos pertukaran mata wang bagi para pengguna.

Selain kemudahan pertukaran, pelanggan turut berpeluang menikmati kadar faedah promosi sebanyak 1% setahun sehingga 30 Jun 2027, sebelum ia diselaraskan kepada 0.5% setahun setelah tamat tempoh tersebut. Maka bagi melengkapkan kemudahan ini, baki ringgit yang disimpan boleh terus digunakan untuk perbelanjaan harian menerusi kad debit OCBC atau dikeluarkan dalam bentuk wang tunai di mana-mana mesin ATM di Malaysia.