Artikel

TNG eWallet Rekod Lebih 5 Juta Pengguna GOfinance – Terlibat Pada Akses Pelaburan

Dengan perluasan akses pelaburan, Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) kini memaklumkan lebih 5 juta pengguna Gofinance telah mengakses sekurangnya satu produk kekayaan aplikasi tersebut setakat akhir September lalu.

Seiring dengan rekod itu, nilai pelaburan keseluruhan yang telah diproses Gofinance kini mencatatkan jumlah RM3.57 bilion.

Seperti yang umum ketahui, sebilangan produk pelaburan di bawah GOfinance ditawarkan bermula dari RM10, ini memberikan pengguna platform lebih mudah untuk mengakses dan meneroka pilihan mengikut matlamat kewangan serta tahap toleransi risiko mereka. Ia merangkumi dana pasaran wang, Amanah Saham, unit amanah, penyelesaian persaraan, emas digital, serta saham tempatan dan global, yang dihimpunkan di dalam TNG eWallet.

Bagi produk individu, lebih daripada 4.7 juta pengguna telah melabur dalam GO+, manakala lebih 700,000 pengguna telah berdagang emas digital melalui e-Mas setakat tarikh yang sama. Angka keseluruhan ini mewakili pengguna unik, termasuk mereka yang telah mengakses pelbagai produk kekayaan.

Dan prestasi ini disasarkan terus meningkat menerusi kerjasama terbaharunya bersama Webull – yang meluaskan lagi akses pelaburan merentasi pasaran global dalam perkhidmatan TNG eWallet.