Artikel

Jepun Bekal Sistem Penangkis Dron Bernilai RM40 Juta – Kepada Malaysia

Malaysia bakal mengukuhkan keupayaan ruang udaranya menerusi perolehan Sistem Penangkis Pesawat Tanpa Pemandu (C-UAS) bernilai kira-kira RM40 juta dari kerajaan Jepun. Inisiatif strategik ini bertujuan memantapkan jentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani serta memintas pelbagai ancaman pencerobohan dron moden yang kian meningkat.

Untuk makluman, kesepakatan penting ini dicapai menerusi program Bantuan Keselamatan Rasmi (Official Security Assistance – OSA) hasil pertemuan dua hala antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Menteri Luar Negeri Jepun, TYT Toshimitsu Motegi. Sesi perbincangan tersebut memberi fokus utama kepada usaha memperkemas jaringan pertahanan serta keselamatan sempadan kedua-dua negara.

Selain memperkukuh kerjasama ketenteraan, kedua-dua pihak turut meneliti hubungan pendidikan yang wujud sekian lama di bawah semangat Dasar Pandang ke Timur. Ini termasuk memperkasakan peranan institusi terkemuka seperti Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) serta cawangan kampus University of Tsukuba di Malaysia.