Artikel

Maybank, ServiceNow Bekerjasama Perkukuh Sistem Perbankan Serantau

Maybank kini memeterai perjanjian 5 tahun bersama syarikat teknologi ServiceNow bagi meningkatkan tahap pemantauan dan tindak balas terhadap potensi gangguan sistem di Malaysia, Singapura, dan Indonesia.

Kerjasama ini membolehkan pasukan teknologi Maybank mendapat gambaran yang lebih jelas dan menyeluruh mengenai infrastruktur, aplikasi, serta aset teknologi bank secara menyeluruh. Pelaksanaan projek ini merupakan sebahagian daripada strategi ROAR30 Maybank yang bermula di Malaysia dan Singapura sebelum diperluaskan ke Indonesia.

Dengan memanfaatkan platform kecerdasan buatan (AI) daripada ServiceNow, Maybank merancang untuk menggabungkan data operasi dan analitik secara berpusat. Langkah ini membolehkan bank mengenal pasti dan menangani sebarang potensi risiko teknikal sebelum ia memberi kesan kepada perkhidmatan pelanggan. Teknologi seperti Super Intelligence Control Tower turut digunakan untuk membantu mengautomasikan alur kerja operasi, sekali gus memastikan perkhidmatan perbankan kekal lancar, selamat, dan beroperasi tanpa gangguan sepanjang masa.

Bagi memastikan kejayaan jangka panjang, Maybank turut menubuhkan Pusat Kecemerlangan dalaman dengan sokongan ServiceNow University untuk melatih pekerjanya dalam bidang kejuruteraan platform, automasi, dan AI. Di samping itu, Maybank menyertai program khas NowNext AI di mana jurutera akan bekerjasama dengan pasukan Maybank bagi membangunkan inovasi berasaskan AI ejen. Usaha ini dilihat berupaya mengukuhkan keselamatan dan kawal selia bank, malah menyediakan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran teknologi masa hadapan.