Artikel

Harga Tiket ECRL Diumumkan – Sehala Ke Kota Bharu Serendah RM125, KotaSAS Kuantan RM60

Malaysia Rail Link (MRL) kini memaklumkan harga tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan sehala dari Gombak-Selangor ke Kota Bharu-Kelantan adalah bermula RM125 bagi kelas ekonomi.

Struktur tambang ini dimaklumkan telah mencapai kelulusan pada 16 Oktober lalu, yang mana penetapan cajnya didasari akan penggunaan mekanisme harga dinamik.

Ini perincian lain berhubung harga tiket ECRL:

  • Gombak ke Kuala Terengganu (transit bermula RM95), (ekspres bermula RM110)
  • Gombak ke KotaSAS, Pahang (transit bermula RM60), (ekspres bermula RM68)
  • Gombak ke Kota Bharu, Kelantan (transit bermula RM125), (ekspres bermula RM147)

Berdasarkan pengumuman hari ini, untuk peringkat awal ECRL menjangkakan sekitar 2.2 juta tempat duduk akan disediakan bagi sepanjang tahun 2027 bersama 12 perjalanan setiap hari untuk Isnin hingga Khamis dan 16 perjalanan sehari untuk Jumaat hingga Ahad.

Menariknya, MRL turut memberi 50% diskaun bagi kelas Ekonomi buat kanak-kanak berusia 2 tahun hingga 12 tahun, semua pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pesara kerajaan. Disusuli 40% diskaun buat pelajar berusia 13 tahun hingga 24 tahun. Dengan akses ini, ia sekali gus memberi penjimatan berganda kepada semua pihak khususnya perjalanan ketika musim perayaan dan cuti tahunan.