Artikel

MOF Nafi Caj Perkhidmatan QR Bermula 1 November Ini – Gesa Pengguna Berwaspada

Kementerian Kewangan (MOF) secara tegasnya menafikan notis bahawa pembayaran QR akan dikenakan caj perkhidmatan baharu bermula 1 November 2026, dan menjelaskan bahawa pihak mereka tidak pernah membuat pengumuman sedemikian.

Mengikut hantaran laman rasmi Facebook MOF semalam, tiada sebarang tindakan caj akan dikenakan melibatkan perkhidmatan DuitNow QR bersama pengguna. Ini bermakna pembayaran menggunakan DuitNow QR kekal percuma buat pengguna.

Pelarasan caj yang berlaku ketika ini adalah melibatkan caj pihak peniaga sahaja. Sebilangan bank dan penyedia perkhidmatan pembayaran telah mula mengenakan kadar potongan pedagang (Merchant Discount Rate atau MDR), yang dikira mengikut peratusan daripada setiap transaksi jualan yang diterima.

Untuk rekod, isu perbezaan antara caj peniaga (MDR) dan caj pengguna pernah mencetuskan kekeliruan sebelum ini apabila pengecualian sementara MDR tamat pada Oktober 2023. Bank Negara Malaysia (BNM) serta PayNet telah mengesahkan bahawa sebarang caj MDR hanya terpakai kepada peniaga dan tidak akan dipindahkan kepada pengguna.