Pasaran saham Indonesia kini mengalami kejatuhan harian paling kritikal dalam tempoh hampir tiga dekad apabila Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) merosot sehingga 11.4%, sekali gus mencatatkan prestasi harian terburuk sejak krisis kewangan Asia pada Januari 1998.
Sentimen ini tercetus susulan kenyataan penyedia indeks global, MSCI – Morgan Stanley Capital International meletakkan Indonesia di landasan untuk diturunkan gred daripada status ‘pasaran membangun’ kepada ‘pasaran bersendirian’ (standalone market). Kejatuhan status secara drastik ini turut menyaksikan dagangan dihentikan sementara selama 30 minit selepas indeks dibuka susut 8%, manakala saham bank-bank gergasi seperti Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia, dan Bank Mandiri masing-masing merosot hampir 15%.
Mengapa MSCI bertindak sedemikian? Menurut laporan Reuters, penurunan gred berpunca daripada kebimbangan berterusan terhadap ketelusan pasaran, struktur pemilikan saham yang tidak jelas, serta isu penguatkuasaan peraturan di Bursa Efek Indonesia (BEI). Sekiranya penurunan gred ini dimuktamadkan, Indonesia bakal dikeluarkan daripada arena produk indeks global yang dijejaki oleh dana pelaburan pasif bernilai berbilion-bilion dolar. Hal ini sekali gus memaksa pengurus dana antarabangsa menjual pegangan saham mereka secara besar-besaran, manakala mata wang Rupiah turut tertekan apabila menyusut ke paras 18,070 berbanding dolar AS, semakin menghampiri paras terendah sepanjang sejarah.
Klasifikasi sebagai ‘pasaran bersendirian’ akan meletakkan ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu sebaris dengan negara-negara seperti Argentina, Lebanon, Palestin, dan Ukraine. Keadaan itu menjadikannya satu-satunya pasaran di rantau Asia Pasifik dalam kategori berkenaan.
Secara perbandingan, saiz ekonomi Indonesia adalah dua kali ganda berbanding Argentina menjadikan potensi pengasingan ini satu tamparan hebat kepada kredibiliti kewangan negara tersebut. Dengan kerugian sesi terkini, pasaran saham Jakarta kini mencatatkan penurunan keseluruhan hampir 40% bagi tahun ini, sekali gus menjadikannya pasaran ekuiti paling terjejas setakat ini.