Penggunaan perkhidmatan Bayar Nanti Pakai Lekas (BNPL) dalam kalangan rakyat Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan pesat apabila merekodkan nilai transaksi keseluruhan sebanyak RM14.7 bilion sepanjang 6 bulan pertama tahun 2026.
Menurut jawapan bertulis Kementerian Kewangan (MOF) di Parlimen, sebanyak 37.9% daripada nilai keseluruhan tersebut – iaitu bersamaan RM5.4 bilion dijana oleh golongan muda berusia 30 tahun ke bawah. Memandangkan trend kebergantungan ini kekal tinggi di kalangan belia, pihak MOF bersama rakan strategik terus giat memperkasakan program literasi kewangan dan pengurusan tunai yang berhemah.
Biarpun volum transaksi melonjak tinggi, MOF menegaskan bahawa paras pembiayaan BNPL dalam kalangan belia masih berada pada tahap yang terkawal. Sehingga akhir Jun lalu, jumlah baki pembiayaan terkumpul bagi kumpulan umur tersebut direkodkan sebanyak RM2.4 bilion. Langkah pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan kemudahan ini tidak meragut kestabilan kewangan jangka panjang golongan muda.
Pada masa yang sama, rekod kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) BNPL untuk golongan belia turut menunjukkan angka yang stabil dan masih di bawah kawalan. Daripada keseluruhan baki pembiayaan belia, jumlah tunggakan tidak berbayar direkodkan sebanyak RM96.8 juta atau bersamaan 4.0%. Pihak kementerian akan terus memantau dinamik pasaran BNPL ini demi melindungi kebajikan kewangan pengguna secara menyeluruh.