Artikel

Binance Masuk Semula Senarai Amaran Pelabur – Kembali Di Bawah Pemantauan SC

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memasukkan semula platform dagangan kriptowang, Binance ke dalam Senarai Amaran Pelabur. Dalam kemas kini bertarikh 8 Oktober lalu, pihak pengawal selia mengesahkan bahawa Binance dikesan mengendalikan bursa kriptowang (DAX) tanpa pendaftaran.

Tindakan ini menyusuli kronologi penguatkuasaan terhadap Binance sejak beberapa tahun lalu. Platform ini pertama kali dimasukkan ke dalam senarai amaran pada Julai 2020 sebelum dikenakan teguran terbuka oleh SC pada Julai 2021 berikutan operasinya yang berterusan secara haram. Walaupun pernah dikeluarkan daripada senarai berkenaan pada tahun 2024 selepas menghentikan aktivitinya di Malaysia, perkembangan baharu ini menunjukkan Binance kini kembali berada di bawah perhatian ketat SC.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan Malaysia pada Julai lalu turut menegaskan bahawa laman web dan aplikasi mudah alih bursa berkenaan kekal disekat daripada diakses oleh pengguna tempatan. Pihak berkuasa akan terus memantau rapi sebarang perkembangan terkini serta tindakan pelanggaran undang-undang bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pelabur di Malaysia.