Artikel

MySejahtera Perkenal MyLapor – Aduan Aktiviti Merokok, Vape Di Tempat Larangan

Seperti yang dimaklumkan beberapa bulan lalu, aplikasi MySejahtera kini memperkenalkan ciri baharu yang dikenali sebagai MyLapor. Iaitu akses yang membolehkan pengguna awam untuk membuat aduan digital berkaitan pelanggaran undang-undang produk rokok dan aktiviti merokok di tempat larangan.

Langkah inovatif ini membolehkan persekitaran tempat awam dipantau dengan lebih berkesan menerusi penglibatan aktif masyarakat setempat.

Sebagai perincian melalui ciri MyLapor, pengguna boleh melaporkan pelbagai kesalahan berkaitan produk merokok atau vape dengan mudah. Antara pelanggaran yang boleh dilaporkan termasuklah aktiviti merokok di kawasan larangan, pengiklanan produk merokok, penjualan dalam talian, pelanggaran larangan paparan di tempat jualan, serta pembungkusan produk yang tidak mematuhi peraturan. Selain itu, perkhidmatan ini turut menyediakan maklumat lanjut seperti senarai 28 tempat yang dilarang merokok dan garis panduan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam bagi meningkatkan kesedaran pengguna.

Untuk lebih memahami penggunaannya, orang awam boleh memuat turun aplikasi MySejahtera dan pergi ke bahagian utama, klik pada butang MyLapor dan pilih jenis aduan yang ingin dikemukakan. Setelah itu para pengguna perlu mengemukakan bukti gambar persekitaran yang terlibat untuk pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan perundangan ke atas individu dan premis terlibat.