Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu ini memperkenalkan Zakat Perniagaan Simpanan Syariah, iaitu satu kemudahan pilihan baharu yang memudahkan pencarum Simpanan Shariah untuk menunaikan kewajipan zakat tahunan mereka menerusi tindakan pemotongan secara terus daripada dividen tahunan Simpanan Syariah setelah dividen diisytiharkan.
Ini bermakna, mana-mana pencarum yang memilih pilihan Zakat Perniagaan Simpanan Syariah ini maka KWSP akan bertindak sebagai wakil untuk menyalurkan bayaran zakat bagi pihak ahli kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.
Bagi pencarum Simpanan Shariah beragama Islam yang tidak memilih kemudahan ini boleh terus menunaikan kewajipan zakat secara individu, manakala ahli bukan beragama Islam tidak tertakluk kepada zakat.
Buat pengetahuan umum, pengenalan pilihan ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125, yang memutuskan bahawa Simpanan Shariah tertakluk kepada kewajipan zakat tahunan, memandangkan simpanan tersebut memenuhi ciri pemilikan sempurna dan pencarum berhak untuk berurusan melalui akad Wakalah dengan KWSP. Muzakarah tersebut turut memutuskan bahawa zakat yang perlu dibayar ke atas Simpanan Shariah ialah zakat perniagaan, dan KWSP boleh menguruskan pembayarannya bagi pihak pencarum.
Mengapa pilihan ini diklasifikasikan sebagai Zakat Perniagaan Simpanan Syariah? Adalah kerana dari sudut kewangan Islam, aktiviti pelaburan dana secara kolektif KWSP ini dikategorikan sebagai satu bentuk perniagaan di peringkat institusi. Oleh itu, zakat yang dikenakan ke atas hasil pelaburan dana tersebut dikira mengikut kaedah Zakat Perniagaan (Zakat Al-Tijarah) oleh KWSP bagi pihak pencarum, dan bukannya Zakat Simpanan individu biasa (sepertimana simpanan dalam akaun peribadi).