Ibarat benih disemai di tanah subur, Belanjawan 2027 hadir membawa pencerahan dan harapan baharu buat seluruh warga Malaysia. Ini meliputi peruntukan tertinggi sejumlah RM510 bilion yang dicadangkan bagi menyiram kembali pelbagai sektor sosioekonomi tempatan.
Daripada keseluruhan RM510 bilion ini, sebanyak RM376.8 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus demi memastikan jentera pentadbiran bergerak lancar, manakala RM83 bilion disalurkan khusus untuk Perbelanjaan Pembangunan.


Agenda ini turut diperkasakan lagi menerusi suntikan Pelaburan GLIC sebanyak RM25 bilion, Pelaburan Awam-Swasta sejumlah RM11 bilion, serta Pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat MKD bernilai RM14.2 bilion.
Jika dihitung secara halus, komitmen kewangan ini menyaksikan kerajaan berbelanja kira-kira RM1.4 bilion sehari (atau RM1.397 bilion setiap hari) – satu jumlah yang membolehkan gaji dan pencen dilunaskan, hutang ditampung, subsidi diagihkan, serta projek pembangunan rakyat dilaksanakan tanpa henti. Lalu, apakah sebenarnya limpahan rezeki dan kelebihan yang bakal dikecapi dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia menerusi peruntukan besar ini?
RM80.3 Bilion Untuk Rakyat Tangani Kos Sara Hidup
Isu tekanan ekonomi semasa terus menghimpit rakyat Malaysia dalam mengimbangi pendapatan mereka untuk mendepani peningkatan kos sara hidup yang terus meningkat secara berkala. Menerusi bajet kali ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM80.3 bilion untuk subsidi, bantuan, dan insentif, termasuk RM16 bilion khusus bagi memperkukuh program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Menariknya, di bawah inisiatif ini, kerajaan bakal memperkenalkan SARA MADANI yang tertumpu kepada kira-kira 13 juta warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR Ketua Isi Rumah, menerusi bantuan RM100 seorang menjelang Aidilfitri dan Merdeka. Sementara itu, penerima isi rumah miskin dan miskin tegar pula layak menerima SARA bulanan sehingga RM250 sebulan (RM3,000 setahun), dengan penggunaan SARA turut diperluas ke barangan basah dan segar di Pasar Tani FAMA.

Dan untuk memastikan harga barangan keperluan kekal terjamin dan berpatutan di seluruh negara, memperuntukkan RM700 juta bagi meneruskan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) secara bersasar menerusi 30,000 penganjuran, di samping memperkenalkan PJRM Borong bagi membantu peniaga kecil. Langkah ini diselari dengan peruntukan RM50 juta untuk peluasan Jualan Agro MADANI kepada 5,000 program yang menawarkan produk agromakanan pada harga 10% hingga 30% lebih rendah daripada harga pasaran tempatan.
Bukan sekadar di bandar, kemudahan ini turut dipanjangkan buat penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman. Program Pengedaran Barang Perlu KPDN terus diperluas ke enam kawasan baharu di Sabah dan Sarawak seperti Moyong, Papar, dan Pusa dengan peruntukan RM250 juta. Segala usaha ini diperkemas menerusi Pelaksanaan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) sebagai kerangka strategik nasional untuk merangka respons kerajaan secara menyeluruh.
Kutipan Cukai Ditambah Baik, Sasaran Defisit Fiskal 3.3%
Pelaksanaan pelbagai bantuan dan subsidi yang inklusif ini sudah tentu memerlukan landasan kewangan negara yang kukuh dan mampan. Sehubungan itu, langkah penambahbaikan kutipan cukai dan kecekapan pentadbiran fiskal dilaksanakan bagi memastikan hasil negara dikutip secara telus, saksama, dan efisien tanpa membebankan rakyat. Menerusi pelaksanaan Kerangka Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan pemantapan Akta Perolehan Kerajaan, ketirisan hasil dapat dibendung manakala ketelusan pengurusan perolehan projek kerajaan terus ditingkatkan — sekali gus menyokong sasaran penurunan defisit fiskal kepada 3.3% pada tahun 2027.

Di peringkat individu dan pembayar cukai, struktur pelepasan cukai menambah baik keadilan fiskal dengan menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000. Bagi membolehkan golongan berpendapatan tinggi menyumbang secara lebih saksama, kadar cukai pendapatan bagi pendapatan bercukai melebihi RM1 juta dilaras naik kepada 30%. Pada masa sama, beberapa had pelepasan cukai turut diperluaskan untuk menggalakkan simpanan, perlindungan kesihatan, serta gaya hidup mampan — merangkumi peluasan pelepasan cukai bagi premium insurans hayat dan perubatan, pelepasan yuran pemeriksaan kesihatan serta rawatan perubatan ibu bapa, pengecualian cukai ke atas simpanan pendidikan anak-anak (SSPN), serta insentif cukai bagi pembelian peralatan sukan dan kelengkapan sektor ekonomi hijau.
Bagi mengukuhkan lagi sinergi ekonomi tempatan, kerjasama strategik dengan pengendali platform dan majikan turut menyediakan insentif pelepasan atau potongan cukai khusus, seperti potongan cukai dua kali ke atas gaji dan kos pensijilan semula bagi majikan yang menggaji veteran ATM.
Seiring dengan sokongan kepada individu, sektor Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) turut disuntik elemen kelonggaran. PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian tertentu serta akses kepada geran padanan, seperti geran padanan sehingga RM5,000 bagi pensijilan halal pertama kali. Langkah ini membolehkan perniagaan kecil terus berkembang dan mematuhi kawal selia tanpa menghadapi bebanan kos pematuhan fiskal yang mendadak.
Gaji Minimum Dilaras Naik — Awam RM2,000 & Graduan/Separa Mahir RM2,500
Selain meringankan beban perbelanjaan dan menyokong peniaga menerusi pentadbiran fiskal yang mesra rakyat, kerajaan turut mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan keupayaan pendapatan pekerja. Dalam usaha memastikan upah yang bermaruah, kerajaan menetapkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027. Langkah ini memberi keutamaan kepada peningkatan pendapatan pekerja kolar biru dan berpendapatan rendah, manakala fleksibiliti serta pengecualian khusus tetap disediakan bagi PMKS berhasil jualan bawah RM50 juta bagi mengelakkan kejutan operasi.
Bagi pemangkin semangat graduan muda dan pekerja separa mahir pula, garis panduan gaji minimum permulaan sebanyak RM2,500 sebulan turut diperkenalkan. Pada masa sama, penanda aras Gaji Sara Hidup bagi pekerja di syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan mulai 2027, sekali gus memberi manfaat langsung kepada lebih 230,000 pekerja.
Keperhatinan terhadap usaha menambah pendapatan ini turut mekar di peringkat akar umbi. Bagi membantu usahawan awam dan peniaga kecil di kawasan perumahan kos rendah, kerajaan memperkenalkan Dapur iTEKAD KITA khusus di kawasan PPR. Inisiatif bernilai RM67 juta ini membolehkan usahawan berkongsi premis dan peralatan bertaraf komersial pada kos rendah, selain mendapat akses kepada latihan, pensijilan halal, pembungkusan, pembiayaan, serta saluran pasaran.
Hak dan Kebajikan Pekerja Gig Ditambah Baik
Kesejahteraan alam pekerjaan ini tidak hanya tertumpu kepada sektor formal, malah diperluas secara komprehensif kepada ekosistem ekonomi gig. Melalui penubuhan Majlis Perundingan Gig, kerajaan akan memuktamadkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan, dan standard minimum perlindungan sosial pekerja gig pada awal 2027. Sebagai langkah segera, pakej kerjasama bernilai RM160 juta antara Kerajaan dan Grab disediakan bagi meningkatkan pendapatan bersih pekerja e-hailing dan p-hailing menerusi bantuan pendapatan, penyelenggaraan kenderaan, insurans, dan caruman PERKESO — dijangka meningkatkan pendapatan bersih bulanan pemandu e-hailing sehingga RM227 dan penghantar p-hailing sehingga RM100.
Bagi menjamin perlindungan sosial dan masa depan persaraan mereka, kerajaan menyediakan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35% kepada pekerja e-hailing dan p-hailing, yang boleh meningkat kepada 50% sekiranya syarikat platform turut serta menanggung caruman tersebut. Skim LINDUNG Kendiri turut menanggung 70% caruman bagi lebih 200,000 orang bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori, manakala Caruman MADANI ditanggung 100% untuk lebih 220,000 sukarelawan dan petugas komuniti.
Langkah perlindungan jangka panjang ini diperkukuh menerusi inisiatif padanan KWSP menerusi i-Saraan, i-Saraan Plus, dan i-Suri dengan caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup yang memanfaatkan lebih 1,000,000 pencarum. Malah, setiap warganegara yang mencapai umur 18 tahun akan didaftarkan sebagai ahli KWSP secara automatik, manakala platform digital imGIG diperkenalkan untuk menghubungkan pekerja gig dengan perkhidmatan pembiayaan dan pembangunan kemahiran.
Semua Negeri Raih Manfaat Saksama
Usaha menaik taraf taraf hidup rakyat ini digandingkan secara seimbang dengan pembangunan fizikal dan prasarana di seluruh pelosok negara. Antaranya adalah:





Selain itu, kemakmuran Wilayah Borneo terus menjadi keutamaan menerusi peruntukan Persekutuan tertinggi iaitu RM18.7 bilion untuk Sabah dan RM16.2 bilion untuk Sarawak, di samping Pemberian Khas interim RM1.5 bilion setiap negeri. Projek gergasi seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), dan Lebuh Raya Trans Borneo meneruskan momentumnya. Kepercayaan ini diperkukuh menerusi penyelesaian 12 perkara MA63 yang menyaksikan penyerahan Pelabuhan Bintulu serta kuasa kawal selia elektrik dan perkhidmatan udara pedalaman menerusi AirBorneo.
Ekonomi Bumiputera Diperkasa Melalui Endowmen dan Vendor
Sambil melakarkan pembangunan fizikal negeri, agenda pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dan Islam turut diperkukuh menerusi pembangunan hartanah strategik dan pemilikan ekuiti bernilai tinggi. Antara langkah utamanya merangkumi pembangunan fasa pertama 10 ekar Tanah Rizab Melayu di Bandar Malaysia oleh PETRONAS, penyerahan tanah strategik 50 ekar bernilai RM1 bilion di Kuala Lumpur sebagai endowmen baharu Yayasan Pembangunan Bumiputera (YPB), serta pembangunan 2,500 unit Rumah MADANI di Belfield dengan 70% unit dikhususkan kepada Bumiputera. Di samping itu, nilai perolehan Kerajaan khusus untuk kontraktor Bumiputera G1-G4 ditingkatkan secara signifikan daripada RM4 bilion kepada RM7.5 bilion.
Bagi membolehkan syarikat Bumiputera berkembang ke peringkat antarabangsa dan penyenaraian pasaran saham, sasaran perolehan GLC dan PETRONAS bernilai RM45 bilion dialokasikan khusus kepada vendor Bumiputera. Sokongan pelaburan bernilai RM1.3 bilion disalurkan melalui Ekuinas dan PHB, manakala Dana Ciptawan (Khazanah bersama TERAJU) menyediakan RM250 juta sebagai modal pertumbuhan syarikat pertengahan. Pemain industri Bumiputera juga diberikan kuota khas 150 MW di bawah Large Scale Solar Pusingan 6 (LSS6) serta bantuan geran pensijilan dan intervensi halal PMKS bernilai RM10 juta.
Warga Emas Raih Peruntukan RM1.3 Bilion
Dalam pada negara memacu pertumbuhan ekonomi dan keusahawanan, golongan warga tua tidak sekali-kali dipinggirkan. Bagi menyediakan ekosistem masyarakat tua yang mampan dan bermaruah, Belanjawan 2027 memperuntukkan bantuan kebajikan kewangan secara langsung berjumlah RM1.3 bilion menerusi Bantuan Warga Emas buat hampir 200,000 penerima. Kerajaan turut memperkenalkan RUU Warga Emas dengan peruntukan awal RM2 juta bagi memperkukuh undang-undang pencegahan pengabaian, pelaporan, dan penguatkuasaan kebajikan warga emas, disokong oleh Standard Penjagaan Nasional.
Menyokong perkhidmatan penjagaan fizikal, dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) dibangunkan di Pulau Pinang dan Sarawak untuk latihan, penyelidikan, dan penjagaan warga emas, manakala RM4.5 juta disalurkan bagi menaik taraf dua bangunan DBKL di Taman Desa dan Cheras menjadi pusat harian warga emas. Dari sudut pembangunan modal insan penjagaan pula, RM42 juta disediakan di bawah program TVET IHSAN bagi melatih lebih 8,000 individu berkhidmat dalam sektor ekonomi penjagaan warga emas.
Aspek fleksibiliti kewangan dan akses kesihatan warga emas turut dipermudah. KWSP memperkenalkan pilihan pengeluaran bulanan i-Emas kepada ahli berumur 55 atau 60 tahun supaya baki simpanan terus menjana dividen. Kemudahan awam di Kuala Lumpur turut dilengkapi dengan 6 unit buggy di Taman Botani Perdana, pengenalan subsidi paratransit MyMobiliti Prihatin sehingga RM50 untuk warga emas berkerusi roda, serta perkhidmatan klinik bergerak oleh 10 Hospital Pengajar Universiti ke kawasan luar bandar.
Belia dan Mahasiswa Peroleh Faedah Berganda
Pelaburan untuk masa depan negara diteruskan menerusi sokongan padu kepada golongan belia dan mahasiswa dalam sektor pendidikan tinggi serta kemahiran. Bagi menangani isu pinjaman pembiayaan, PTPTN menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan, bayaran minimum RM50 sebulan bagi pendapatan RM2,501 hingga RM3,000, serta diskaun 10% kepada peminjam yang membuat bayaran secara teratur. Pelajar Tingkatan Enam pula dibantu menerusi Elaun Sara Hidup RM2,500 seorang bernilai keseluruhan RM120 juta bagi menampung kos pembelajaran.

Bagi mahasiswa universiti awam dan institusi pendidikan, kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk meningkatkan nilai baucar digital FlySiswa daripada RM400 kepada RM500 bagi 60,000 pelajar untuk penerbangan antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan. Di samping itu, RM10 juta disalurkan menerusi program Celik MADANI yang memberi pelaburan awal RM50 dalam ASB atau ASM kepada 200,000 mahasiswa, manakala kemudahan kediaman pelajar ditambah baik menerusi pelaburan Vista Kampus RM750 juta oleh KWAP dan residensi UM.
Sebagai pelengkap kepada pembangunan generasi muda, peluang kerjaya dan aktiviti kemasyarakatan terus diperkasa. Program Bakat MADANI memperuntukkan RM200 juta dengan sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu bagi tahun 2027. Belia turut disokong menerusi peruntukan TVET RM8 bilion, program PRIME Talent Hub, dan insentif Budi Belia bernilai RM280 juta yang menawarkan e-dompet RM100 kepada anak muda yang melengkapkan jam kesukarelawanan bersama NGO.
Keseluruhannya, Belanjawan 2027 memaparkan komitmen besar kerajaan menerusi pelbagai peruntukan holistik — daripada bantuan sara hidup, pelarasan gaji minimum, pelepasan cukai, hinggalah kepada pembangunan infrastruktur merentas negeri. Namun keberkesanan belanjawan ini tidak bergantung pada besarnya peruntukan di atas kertas, sebaliknya pada ketelusan dan kecekapan pelaksanaannya di lapangan. Apakah suntikan dana setinggi ini benar-benar mampu meredakan tekanan ekonomi negara serta ringankan beban poket rakyat, atau sebaliknya berisiko membebankan kedudukan kewangan negara?