Artikel

Grab: Rakan Pemandu Boleh Raih Tambahan RM227 Sebulan, Di Bawah Inisiatif Belanjawan 2027

Grab Malaysia menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 dengan melangkah ke hadapan membiayai bersama pelbagai inisiatif berimpak tinggi bersama Kerajaan bagi memperkasakan kebajikan rakan pemandu dan penghantar.

Langkah strategik ini dirangka khas untuk meningkatkan peluang pendapatan bersih bulanan, dengan jangkaan peningkatan sehingga RM227 bagi pemandu seru-pandu dan RM100 bagi rakan penghantar. Usaha ini turut merangkumi cadangan penetapan kadar asas minimum mulai tahun 2027 tanpa menjejaskan kestabilan kadar tambang penumpang, sekali gus membuktikan komitmen Grab dalam mengimbangi kepentingan semua pihak dalam ekosistem digital.

Selain fokus terhadap peningkatan pendapatan, komitmen bersama ini turut memberi perhatian khusus kepada pengurangan kos operasi harian dan pengukuhan perlindungan sosial pekerja gig. Antara langkah utama yang diperkenalkan termasuklah subsidi penyelenggaraan kenderaan bermula dengan minyak pelincir yang mampu menjimatkan kos sehingga 35%, serta insentif keselamatan interim yang mengurangkan kos insurans kawal selia sehingga 25% bagi pemandu berhemah. Di samping itu, sokongan penuh terhadap caruman wajib PERKESO dilaksanakan dengan menawarkan perlindungan percuma 100% kepada rakan pemandu paling aktif dan subsidi sehingga 50% bagi rakan pemandu yang lain.

Bagi memastikan kemampanan jangka panjang, Grab juga bekerjasama dengan Kerajaan untuk merangsang permintaan pasaran menerusi integrasi pengangkutan awam, seperti pengenalan pas transit bulanan first- and last-mile di Lembah Klang. Setiap penjimatan dan pendapatan tambahan amat bermakna bagi komuniti pekerja gig dalam mendepani cabaran ekonomi semasa. Menerusi gandingan kepakaran industri dan sokongan kerajaan ini, Grab berhasrat untuk membina ekosistem ekonomi gig yang lebih kukuh, adil, dan mampan di Malaysia.