Pengeluar air minuman tempatan, Life Water Bhd kini mengambil langkah strategik untuk menampung empayar perniagaannya dengan memperoleh hartanah perindustrian di Kota Kinabalu, Sabah – bernilai RM15 juta.
Buat pengetahuan umum, Life Water dianggarkan menguasai kira-kira 11% pasaran air minuman botol di Malaysia, dengan kedudukan yang sangat kukuh dan dominan sebagai peneraju utama pasaran di negeri Sabah.
Menerusi anak syarikat milik penuhnya, Green Borneo Industries Sdn Bhd (GBI), kumpulan tersebut pada notis bersama Bursa Malaysia telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Kee Foh Haw Sdn Bhd bagi mengambil alih sebidang tanah seluas 1.21 hektar di KKIP Selatan, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). Tanah berserta kompleks pejabat dan bengkel sampingan dengan keluasan binaan 1,793 meter persegi itu memegang status pajakan 99 tahun yang akan berakhir pada Disember 2110.
Pengambilan hartanah baharu bakal berfungsi sebagai gudang untuk meningkatkan kecekapan operasi serta menyediakan ruang tambahan bagi pelan pengeluaran masa hadapan. Lokasinya di dalam kawasan KKIP disifatkan sangat strategik memandangkan GBI sememangnya sedang mengendalikan kemudahan pengeluaran utamanya di kawasan berkenaan. Dari segi pembiayaan, Life Water memperuntukkan RM2.25 juta menggunakan dana dalaman syarikat, manakala baki RM12.75 juta lagi akan ditampung menerusi kemudahan pinjaman perbankan.
Langkah pelaburan ini turut memberikan impak positif kepada kedudukan pasaran syarikat, di mana saham Life Water mencatatkan kenaikan dua sen atau 1.18% selepas pengumuman pembelian dibuat. Prestasi kukuh itu sekali gus melonjakkan nilai pasaran pengeluar air botol yang berpangkalan di Sabah berkenaan kepada RM805.08 juta. Perkembangan ini memperlihatkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang Life Water dalam industri minuman tempatan.