Artikel

KKM Cadang Wajibkan Insurans Kesihatan – Buat Pelarian, Pemohon Suaka

Bagi menangani isu tunggakan bil dan bebanan kos rawatan kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan pelaksanaan insurans kesihatan wajib ke atas kumpulan pelarian serta pemohon suaka yang berdaftar di bawah sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

Menerusi jawapan di Parlimen hari ini, KKM memaklumkan bahawa lebih 80% tunggakan bil perubatan membabitkan pesakit bukan warganegara berpunca daripada golongan pendatang tanpa izin (PATI) dan individu tanpa kerakyatan.

Biarpun berdepan beban kewangan yang tinggi, khidmat perubatan awam tetap melaksanakan tanggungjawab merawat pesakit luar tanpa mengira latar belakang. Menurut KKM, isu tunggakan bil dalam kalangan warga asing bukan berpunca daripada kelemahan sistem kutipan fi semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh kekangan kewangan pesakit, ketiadaan perlindungan insurans, kes pesakit melarikan diri sebelum bayaran dibuat, serta maklumat peribadi dan butiran perhubungan yang tidak tepat.

Faktor-faktor ini menyukarkan KKM untuk mengesan pesakit terbabit bagi tindakan susulan dan proses kutipan bayaran.

Maka, cadangan pelaksanaan insurans ini dilihat sebagai langkah penting dalam menyelesaikan isu ketirisan bayaran, sekali gus meringankan beban kewangan sektor kesihatan awam negara secara menyeluruh.