Artikel

Setel Perkenal Voice Fuelling – Kini Boleh Isi Minyak Guna Arahan Suara, Pelbagai Bahasa

Menyedari peranan teknologi yang sewajarnya memudahkan rutin harian pengguna, Setel — aplikasi sehenti Petronas hari ini secara rasmi memperkenalkan Voice Fuelling. Ciri canggih berkuasa AI ini membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak hanya dengan menggunakan arahan suara, serta menyokong pelbagai bahasa merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, dan Tamil di Malaysia.

Sebagai permulaan, ciri ini diperkenalkan dalam fasa ujian bagi menilai serta memahami pengalaman pengguna semasa mengisi minyak di rangkaian stesen Petronas. Ia difokuskan khas untuk pemandu yang lebih selesa memberikan arahan secara lisan berbanding mengetik skrin telefon pintar mereka.

Pengguna tidak perlu bimbang kerana sepanjang fasa pengujian ini, rakan stesen dan kru Petronas sentiasa sedia membantu bagi tindakan pengaktifan Voice Fuelling. Sebaik sahaja ciri ini diaktifkan, pengguna hanya perlu menyebut nombor pam untuk memulakan pengisian. AI Setel seterusnya akan menguruskan transaksi secara automatik berdasarkan kaedah pembayaran dan pilihan minyak yang telah ditetapkan oleh pengguna.