Artikel

MOT: 40.77 Juta Kenderaan Kini Berdaftar, Terus Atasi Populasi Rakyat Malaysia

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan kini terdapat 40.77 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara, iaitu peningkatan sekitar dua juta berbanding 38.7 juta yang dicatatkan pada penghujung tahun 2024.

Angka terbaharu ini turut memaklumkan sekitar 26.6 juta kenderaan atau 65.3% daripadanya masih aktif. Ini merangkumi sekitar 1.62 juta kenderaan baharu didaftarkan pada 2025, terdiri daripada 847,000 kereta dan 703,000 motosikal.

Lebih membimbangkan, angka ini mengesahkan trend jumlah kenderaan berdaftar terus mengatasi bilangan populasi rakyat Malaysia yang kini dianggarkan seramai 34.4 juta orang. Nisbah ini menunjukkan bahawa bagi setiap 100 orang penduduk — termasuk bayi dan warga emas, terdapat purata 119 buah kenderaan di jalan raya, sekali gus mencerminkan kebergantungan yang amat tinggi terhadap kenderaan peribadi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dalam jawapan bertulis di Parlimen menegaskan lonjakan pemilikan kenderaan peribadi yang berterusan ini menjadi punca utama isu kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal di kawasan bandar. Masa yang terbuang saban hari akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup masyarakat, malah membawa impak negatif terhadap produktiviti ekonomi negara dan tahap kesihatan mental pemandu. Situasi ini menunjukkan penambahan lorong atau pembinaan jalan raya baharu semata-mata tidak lagi mampu menampung kepantasan pertumbuhan jumlah kenderaan di Malaysia.