Artikel

Ryt Bank Kini Sedia Sokongan Apple Pay

Ryt Bank hari ini secara rasminya mengumumkan sedia sokongan Apple Pay di pasaran Malaysia. Langkah ini menjadikannya bank digital berlesen pertama di negara ini yang menawarkan integrasi dompet digital berkenaan kepada para penggunanya.

Menerusi kemas kini terbaharu ini, pemegang kad debit fizikal mahupun kad maya Ryt Card kini boleh mendaftarkan kad mereka terus ke dalam perkhidmatan Apple Wallet pada peranti iPhone dan Apple Watch masing-masing untuk melakukan transaksi nirsentuh yang lebih cepat dan selamat.

Pengenalan ciri ini membolehkan pengguna membuat pembayaran di premis perniagaan, aplikasi, serta platform dalam talian yang menyokong rangkaian pembayaran Visa PayWave tanpa perlu membawa kad fizikal. Menurut pihak bank, setiap transaksi yang diuruskan menerusi Apple Pay dilindungi oleh ciri keselamatan terbina pada peranti seperti Face ID, Touch ID, atau kod laluan. Selain itu, nombor kad sebenar pengguna tidak akan disimpan pada peranti atau pelayan Apple, sekali gus meningkatkan perlindungan privasi serta keselamatan maklumat kewangan pengguna.

Bagi memulakan penggunaan, pengguna hanya perlu membuka aplikasi Ryt Bank dan memilih pilihan Add to Apple Wallet pada bahagian tetapan kad. Integrasi ini secara tidak langsung menetapkan tanda aras baharu dalam industri perbankan digital tempatan, di samping memperluas pilihan pembayaran nirtunai di kalangan pengguna iOS di Malaysia.

Selari dengan perkembangan itu, semua pihak perlu memahami Ryt Bank adalah antara 3 bank digital di Malaysia tertakluk di bawah lesen Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) – yang bermakna ia berperanan selaku bank konvesional. Ini jelas memaparkan status Ryt Bank bukanlah di bawah patuh-syariah. Maka segala penawaran yang disertakan adalah tidak mematuhi piawaian syariah.