Malaysia dilihat masih berdepan cabaran utama apabila tahap hasil cukai negara kekal rendah berbanding saiz ekonomi semasa. Bagi mengimbangi situasi ini, Bank Dunia menyarankan agar Malaysia meluaskan asas hasil cukai tanpa perlu menaikkan kadarnya menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Laporan bersama Ahli Ekonomi Utama Bank Dunia bagi Malaysia ini menjelaskan antara langkah yang boleh direalisasikan adalah menurunkan ambang pendapatan bagi kadar marginal cukai pendapatan individu yang lebih tinggi. Setakat ini, ambang pelarasan di Malaysia dilihat masih berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding kebanyakan negara lain.

Secara mudahnya, jika ambang pendapatan diturunkan – individu berpendapatan tinggi akan mula dikenakan kadar cukai yang lebih tinggi pada julat gaji yang lebih awal berbanding sebelum ini. Sebagai contoh, jika kadar cukai 28% sebelum ini hanya dikenakan ke atas pendapatan yang melebihi RM600,000 setahun (seperti dijadual), penurunan ambang ini kepada RM400,000 setahun akan membantu kerajaan meluaskan hasil kutipan tanpa perlu menaikkan kadar cukai sedia ada.
Kerajaan turut disaran mempertimbangkan had yang lebih jelas terhadap pelepasan serta potongan cukai khusus bagi kumpulan berpendapatan tinggi. Langkah strategik ini wajar dilaksanakan demi memperluas dan memperkukuh lagi asas pemungutan hasil negara.
Pada masa sama, kerajaan wajar memberi tumpuan kepada percukaian korporat dengan menyediakan struktur cukai pendapatan yang lebih mudah buat pemain ekonomi. Kepelbagaian kadar cukai sedia ada sewajarnya disatukan kepada satu kadar cukai korporat standard. Selain itu, pelepasan atau layanan cukai istimewa ke atas syarikat yang telah berkembang melepasi status PKS wajar dihapuskan dan digantikan dengan insentif yang lebih bersesuaian. Langkah ini bukan sahaja mampu meluaskan hasil negara, malah tidak menjejaskan keupayaan syarikat-syarikat tersebut untuk terus memacu pertumbuhan di pasaran hadapan.