Artikel

Harga Tiket ECRL Dijangka Umum Oktober Ini – Jualan Disasar November 2026

Seperti yang dinantikan semua pihak, Malaysia Rail Link (MRL) kini memberi bayangan bahawa harga tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi diumumkan pada bulan ini, Oktober 2026. Yang mana jualan tiket tersebut disasar mula dibuka kepada orang awam mulai November 2026 menjelang operasi komersial pada pertengahan Disember.

Berdasarkan makluman itu, kadar tambang ECRL ini dijelaskan akan lebih rendah berbanding tiket penerbangan dan lebih tinggi berbanding tiket bas. Penetapan struktur harga bersaing ini dijangka memberi pilihan pengangkutan awam yang lebih fleksibel, selesa, dan efisien untuk perjalanan rentas negeri.

Untuk fasa awal, perkhidmatan ECRL akan beroperasi sebanyak 12 perjalanan ulang-alik setiap hari dari Isnin hingga Khamis, dan 14 perjalanan dari Jumaat hingga Ahad. Buat pengetahuan umum, laluan fasa pertama ini akan melibatkan perjalanan sepanjang 665km merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di pantai barat Semenanjung Malaysia.