Artikel

RHB Umum Penyelarasan Caj DuitNow QR Peniaga – Bermula 26 Oktober Ini

Pemegang akaun peniaga RHB Bank tidak lama lagi bakal berdepan dengan penyelarasan kadar caj pemprosesan atau Merchant Discount Rate (MDR) bagi transaksi DuitNow QR yang diproses menerusi saluran rasmi bank tersebut mulai 26 Oktober ini.

Berdasarkan notis pengumuman terbaharu daripada RHB Bank, penyelarasan kadar itu dilaksanakan selaras dengan perkembangan lanskap pembayaran digital tempatan serta keperluan perkhidmatan berterusan. Namun, caj baharu ini hanya terpakai kepada perkhidmatan perniagaan dan tidak melibatkan transaksi pembayaran oleh pengguna awam.

Menerusi pelaksaan terbaharu ini, caj pemprosesan bagi perniagaan yang menggunakan Akaun Simpanan, Akaun Semasa, mahupun dompet digital ditetapkan pada kadar 0.35% daripada keseluruhan nilai transaksi. Manakala bagi transaksi pembayaran DuitNow QR yang dibuat menggunakan kad kredit pula, kadar caj yang bakal dikenakan adalah sebanyak 0.60%. Sebagai contoh, bagi setiap bayaran RM100 yang diterima daripada pelanggan menerusi akaun bank atau dompet digital, peniaga akan dikenakan potongan caj sebanyak RM0.35 (menerima RM99.65 bersih), manakala bayaran RM100 menerusi kad kredit pula akan dipotong sebanyak RM0.60 (menerima RM99.40 bersih).

Penyesuaian struktur kadar ini merangkumi transaksi yang diproses menerusi tiga saluran utama iaitu peranti terminal kad, DuitNow QR Sound Box/Sound Box+, serta perkhidmatan Reflex Mobile dan kad perniagaan.

Langkah penyelarasan kadar MDR RHB secara berperingkat ini selari dengan penamatan pengecualian caj di peringkat rasmi sebelum ini. Pihak RHB menjelaskan bahawa pelaksanaan kadar baharu ini membolehkan mereka untuk terus menyokong keperluan operasi perniagaan peniaga dengan kualiti perkhidmatan yang konsisten dan mampan. Peniaga yang memerlukan penjelasan lanjut disaran untuk menghubungi cawangan RHB Bank yang berdekatan.