Artikel

Pelarasan Gaji Minimum, Turut Ambil Kira Gaji Graduan – KPT

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi gambaran bahawa pengumuman kenaikan gaji minimum kelak bakal turut mengambil kira pelarasan gaji buat kumpulan graduan. Langkah ini selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan golongan berpendidikan tinggi mendapat ganjaran yang setimpal, sekali gus menangani cabaran ekonomi semasa yang dihadapi graduan universiti.

Tumpuan khusus ini juga dilaksanakan bagi membantu graduan menangani isu guna tenaga tidak penuh di pasaran kerja. Bagi memastikan perancangan yang komprehensif, usaha tersebut kini sedang diteliti bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi memahami keperluan permintaan serta kapasiti pasaran pada masa hadapan.

Langkah ini seterusnya akan diutamakan dalam perancangan strategi Dasar Pendidikan Tinggi 2026-2035, memandangkan seramai 1.6 juta graduan Malaysia ketika ini berdepan isu bekerja di luar bidang dan tidak memiliki pekerjaan yang setara dengan kemahiran mereka. Namun, pelarasan gaji berkenaan dijelaskan bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang dijangka berpotensi berlaku pada Belanjawan 2027.