Hasil kerjasama Yinson GreenTech (YGT) dengan Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB), tidak lama lagi penyediaan khidmat feri penumpang elektrik pertama di Malaysia akan direalisasikan menerusi pembangunan Projek Feri Elektrik Langkawi.
Akses ini untuk makluman akan melibatkan operasi feri elektrik bagi laluan Kuah, Langkawi-Kuala Perlis. Yang mana lokasi ini akan disokong pembangunan infrastruktur pengecasan di darat serta teknologi marin bersepadu. Sebagai perincian YGT akan bertanggungjawab menyediakan kapal tatkala LPSB akan bertanggungjawab mengendalikan operasi tersebut.
Sementara Tenaga Nasional (TNB) pula akan bertindak selaku pembangun infrastruktur bekalan kuasa dan pengecasan yang menyokong operasi feri elektrik ini. Secara menyeluruh projek ini telah dimandatkan sebagai Projek Keutamaan Nasional di bawah sokongan Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kewangan dan Jabatan Laut Malaysia. Kebersamaan ini akan memperlihatkan ujian feri elektrik tersebut dilaksanakan sekitar Januari 2027 sebelum beroperasi sepenuhnya pada Mei 2027 – bersempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA).