Artikel

Nike Rancang Memberhentikan Lebih Ramai Pekerja – Sasar Bermula 2027

Nike kini mempergiatkan usaha penyusunan semula bagi menangani kemerosotan prestasi syarikat yang dijangka berterusan untuk beberapa suku lagi.

Langkah drastik ini mengikut laporan diambil menyusul unjuran pendapatan tahunan yang merosot lebih teruk daripada jangkaan, terutamanya berpunca daripada kejatuhan jualan sebanyak 26% di pasaran China. Kemerosotan ketara ini bukan sahaja meningkatkan kebimbangan para pelabur, malah turut menyaksikan nilai saham Nike merosot 8.5% dalam sesi dagangan selepas waktu pasaran.

Persaingan sengit dan kekurangan inovasi produk baharu dikenal pasti sebagai punca utama cabaran yang dihadapi gergasi barangan sukan ini. Walaupun teras perniagaan tertumpu pada sukan larian, pertumbuhan jualan dilihat tidak memadai untuk menampung kelemahan dalam segmen pakaian sukan, jenama Jordan dan pasaran China. Akibatnya, syarikat terpaksa bergantung kepada tawaran promosi dan potongan harga untuk menarik pembeli, sekali gus menjejaskan margin keuntungan.

Bagi mengukuhkan semula operasi kewangannya, Nike merancang untuk merombak struktur perniagaan global daripada empat rantau kepada tiga iaitu Amerika, EMEA (Eropah, Timur Tengah dan Afrika), serta Asia Pasifik dan China. Sebagai sebahagian daripada strategi penjimatan ini, Nike bakal memberhentikan lebih ramai tenaga kerja yang akan mula dimaklumkan pada tahun 2027, di samping merancang pembukaan kampus baharu di India bagi memanfaatkan tenaga kerja mahir pasaran tersebut.