Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan pengenalan peningkatan aras perlindungan bagi pelanggan domestik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi tempoh September hingga 31 Disember 2026. Menerusi inisiatif susulan daripada pengumuman kerajaan ini, pengguna kediaman yang mencatatkan penggunaan elektrik dalam julat berkenaan berpeluang menikmati penjimatan serta pengecualian caj pada bil bulanan mereka.
Bagi pelanggan yang layak, penggunaan elektrik 800 kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada tiga caj utama iaitu Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Caj Peruncitan RM10, serta Cukai Perkhidmatan 8%. Langkah ini bermatlamat untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup isi rumah yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah.
Selari dengan komitmen itu, TNB hari ini memaklumkan – penggunaan bulan September 2026 dikira secara pro rata dan dikreditkan terus ke dalam bil bulan Oktober 2026 bagi pelanggan yang menerima bil berdasarkan bacaan meter sebenar. Pengguna dengan penggunaan 601 kWj hingga 800 kWj akan menerima pelarasan AFA, Caj Peruncitan, dan Cukai Perkhidmatan 8%, manakala penggunaan 801 kWj ke atas menerima pelarasan Cukai Perkhidmatan 8%. Jumlah kredit ini akan dipaparkan secara jelas dalam bil fizikal mahupun digital.

Bagi memaksimumkan penjimatan, TNB turut menggalakkan pengguna mengamalkan langkah kecekapan tenaga harian. Antaranya termasuk memantau penggunaan menerusi aplikasi myTNB, menetapkan suhu penyaman udara serta mengalih penggunaan peralatan berkuasa tinggi ke waktu luar puncak. Sebarang maklumat lanjut boleh dicapai melalui portal rasmi myTNB atau talian khidmat pelanggan TNB CareLine.