Artikel

Rapid Bus Uji Bas Elektrik – Persediaan Operasi 250 Bas EV Baharu

Rapid Bus Sdn, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad kini sedang menguji lima buah bas elektrik (EV) di laluan Bus Rapid Transit (BRT) Sunway sebagai persediaan kepada pengoperasian 250 bas EV baharu yang akan diperkenalkan secara berperingkat.

Pemilihan BRT Sunway sebagai lokasi ujian membolehkan Rapid Bus menilai prestasi bas elektrik dalam persekitaran operasi sebenar sebelum pengoperasiannya diperluaskan secara berperingkat ke rangkaian perkhidmatan lain.

Melalui ujian yang sedang dijalankan, Rapid Bus menilai pelbagai aspek prestasi bas elektrik, termasuk kecekapan tenaga, prestasi bateri, jarak perjalanan, dan sistem pengecasan, selain pengalaman penumpang dari segi keselesaan, kelancaran perjalanan dan tahap bunyi yang turut dinilai sepanjang tempoh ujian.

Selain ujian operasi, Rapid Bus turut melaksanakan persediaan yang diperlukan bagi menyokong penggunaan bas elektrik secara lebih meluas, termasuk aspek infrastruktur pengecasan, kemudahan penyelenggaraan, latihan teknikal dan keperluan operasi berkaitan. Perolehan 250 bas EV baharu ini akan dilaksanakan secara berperingkat selaras dengan perancangan syarikat untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih moden, mampan dan memenuhi keperluan mobiliti masa hadapan.