Grab kini mengaktifkan ciri AudioProtect secara automatik dan mandatori untuk semua perjalanan dalam perkhidmatan seru-pandu kumpulan. Langkah mandatori ini bermakna ciri AudioProtect kini merupakan antara standard keselamatan asas yang perlu dipatuhi oleh rakan pemandu.
Tindakan ini diambil bagi memastikan kedua-dua pihak iaitu penumpang dan rakan pemandu mendapat perlindungan secara saksama sepanjang masa tanpa perlu risau untuk mengaktifkannya secara kendiri sebelum memulakan perjalanan.
Menerusi AudioProtect, ia tidak sekadar merakam bunyi tetapi turut memiliki keupayaan menganalisis isyarat kecemasan secara masa nyata. Melalui teknologi analisis pada peranti, sistem ini mampu mengesan bunyi luar biasa seperti impak kemalangan atau jeritan cemas, terutamanya apabila digabungkan dengan petunjuk risiko lain seperti lencongan laluan yang mencurigakan.
Sekiranya berlaku insiden, klip audio pendek berdurasi 15 saat akan dimuat naik secara automatik untuk membolehkan pemicuan tindakan susulan dan bantuan kecemasan diberikan dengan serta-merta semasa perjalanan masih berlangsung.
Pelaksanaan ciri automatik ini mungkin menimbulkan persoalan mengenai privasi, namun Grab menegaskan bahawa tahap perlindungan data pengguna tetap menjadi keutamaan tertinggi. Semua fail audio yang dirakam akan disimpan secara terenkripsi di dalam peranti pengguna sendiri dan tidak boleh diakses, didengar, atau dimuat turun oleh mana-mana pihak. Jika tiada sebarang insiden keselamatan dilaporkan sepanjang perjalanan, fail rakaman tersebut akan dipadamkan secara automatik dari peranti mengikut had masa simpanan yang telah ditetapkan.