Amalan mengurus kewangan tidak lagi sama, kini pengguna Malaysia dilihat lebih cenderung memanfaatkan aplikasi kewangan untuk memudahkan aliran tunai mereka – dan berdasarkan perubahan tabiat itu, TNG eWallet hari ini berkongsikan seramai 8.5 juta pengguna telah direkodkan pada perkhidmatan GOfinance kumpulan setakat 31 Ogos lalu, sekali gus jumlah ini mencatatkan pertumbuhan 22% secara tahunan dan terus meningkat dua angka sejak 2024.
Menariknya, berdasarkan perkembangan kapasiti pengguna ini – lebih 4 juta pengguna direkodkan membuat transaksi perkhidmatan kewangan setiap bulan menerusi GOfinance. Manakala hampir 46% daripada 8.5 juta pengguna tersebut menggunakan lebih daripada 1 produk kewangan TNG eWallet. Antara akses yang tersedia adalah pelaburan, insurans, pembiayaan, penghantaran wang, kad Visa TNG eWallet, pas pengangkutan awam, pembayaran gaji dan pembayaran rentas sempadan menggunakan kod QR.
Melalui kepelbagaian perkhidmatan dalam satu aplikasi, TNG eWallet optimis ia mampu memudahkan pengurusan perbelanjaan harian orang awam. Pada masa sama, ia membuka ruang kepada golongan yang sebelum ini terpinggir daripada perkhidmatan kewangan formal ekoran isu dokumentasi.