Artikel

Gaji Purata Malaysia 2025 Naik 4.1% – Namun Kadar Pertumbuhan Perlahan Berbanding 3 Tahun Lepas

Tahun 2025 menunjukkan pertumbuhan gaji dan upah pekerja Malaysia meningkat secara puratanya 4.1% kepada RM3,803 sebulan. Data ini jelas menunjukkan berlakunya penurunan perkembangan berbanding 3 tahun sebelumnya iaitu 2024 (6.1%), 2023 (6.9%) dan 2022 (5.6%).

Biarpun perkembangan gaji negara semakin mengecil namun pertumbuhan ini menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kekal meningkatkan purata gaji bulanan rakyat Malaysia. Setakat ini didapati 86.4% daripada 10.38 juta rakyat adalah merupakan pekerja bergaji sepenuh masa. Dengan sektor Perkhidmatan merekodkan jumlah pekerja terbesar menyumbang kepada peningkatan penerima gaji dalam sektor ekonomi Malaysia.

Manakala mengikut taburan jantina pula – pekerja lelaki seramai 6.08 juta orang atau bersamaan dengan 58.6% daripada keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia. Purata gaji & upah bulanan lelaki meningkat pada kadar yang lebih tinggi iaitu 4.3% kepada RM3,921 berbanding perempuan, yang bertambah 3.9% kepada RM3,635.

Bagi taburan negeri pula, Selangor mencatatkan peratus sumbangan penerima gaji tertinggi iaitu 25.6% daripada jumlah keseluruhan pekerja bergaji warganegara, diikuti Johor (13.6%) dan Sarawak (7.6%). Putrajaya pula merekodkan purata gaji & upah bulanan tertinggi iaitu RM5,417, manakala Kuala Lumpur (KL) pada RM4,955 dan Selangor, RM4,258. Lima negeri menunjukkan nilai purata gaji & upah bulanan melebihi paras nasional iaitu Putrajaya, KL, Selangor, Pulau Pinang (RM3,912) dan Labuan (RM3,887).

Menuju ke hadapan, usaha berterusan untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh kemahiran dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi adalah penting untuk direalisasikan bagi menyokong pertumbuhan gaji benar yang mampan serta kesejahteraan pekerja Malaysia.