Artikel

14 Bank Kini Tawar Kaedah Pengurangan Baki Pinjaman Kereta – Jimatkan Kos Pengguna

Seperti yang umum sedia maklum, awal tahun ini Parlimen telah meluluskan rang undang-undang (RUU) yang menghapuskan amalan perbankan untuk mengenakan caj faedah tidak seimbang bagi setiap pelunasan awal pinjaman sewa beli. Pindaan ini menghapuskan penggunaan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap yang selama ini dianggap membebankan pengguna.

Ini bermakna, sekiranya pengguna ingin menyelesaikan pinjaman kenderaan lebih awal maka kadar faedah di bawah pendekatan pengurangan baki ini akan dikira berlandaskan baki hutang terkini sahaja. Pembaharuan ini berbeza dengan pengiraan kadar tetap sebelum ini iaitu kadar faedah dikira atas jumlah pembiayaan asal walaupun baki hutang semakin mengecil – maka walaupun ingin membuat penyelesaian awal, kos faedah yang perlu dilunas kekal tinggi.

Dan berlandaskan komitmen itu, kini 14 bank telah mula menawarkan pembiayaan sewa beli dengan tawaran Kaedah Pengurangan Baki.

Makluman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ini pada laporan menjelaskan terdapat baki 6 bank lagi dijangka melengkapkan proses peralihan kepada kaedah tersebut, selewatnya 31 Disember 2026.

Dengan pematuhan tersebut, kementerian menyasarkan 80% penyedia sewa beli akan menawarkan pembiayaan sedemikian pada pasaran tempatan menjelang akhir tahun ini. Manakala penyedia pembiayaan yang belum bersedia akan diberi tempoh penyesuaian sehingga 31 Mac 2027 dan pematuhan wajib akan mula dikuatkuasakan pada 1 April 2027.

Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus kepada pengguna.

Apa itu Peraturan 78? Peraturan 78 adalah kaedah jumlah digit yang melibat pertambahan bermula bulan pertama sehingga bulan 12 (1+2+3+4+5+6+7+8+9+10+11+12=78). Di mana ia mengira faedah dengan menetapkan faedah maksimum perlu dibayar pengguna pada permulaan pinjaman. Tindakan ini sekaligus membawa kepada kadar lebih perlahan untuk menyelesaikan pinjaman pada tempoh yang lebih awal.

Ini bermakna pinjaman dilunaskan pembayar adalah lebih besar ke atas nisbah faedah berbanding prinsipal. Keadaan ini mendorong jumlah hutang pengguna kekal tinggi.