Artikel

Tony Fernandes Nafi Kerajaan Rangka Pelan ‘Selamatkan’ AirAsia

Ura-ura yang memaklumkan kerajaan sedang menyiapkan pelan luar jangka bagi ‘menyelamatkan’ AirAsia disifatkan sebagai tidak masuk akal oleh Pengasas AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes. Pihaknya menegaskan, kerajaan sama sekali tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung cadangan agar syarikat penerbangan lain mengambil alih syer pasaran AirAsia.

Mengulas mengenai usaha mendapatkan dana baharu pada sidang taklimat khas hari ini, Tony memperbetulkan tanggapan pelbagai pihak dengan menjelaskan bahawa langkah itu bertujuan mengoptimumkan struktur kos syarikat, dan bukannya tanda awal kejatuhan perniagaan mereka.

Meskipun mengakui prestasi suku kedua agak mencabar disebabkan lonjakan harga bahan api melepasi $200 setong – kumpulan kekal menjual harga tiket dibawah tanggapan anggaran kos bahan api pada kadar $85 setong. Tindakan itu jelas tidak menguntungkan kumpulan. Namun Tony kekal positif terhadap daya tahan syarikat – menurutnya, situasi semasa memerlukan AirAsia dan mana-mana syarikat penerbangan lain melaraskan semula kadar tambang serta kos operasi sekiranya harga minyak terus berada pada paras tinggi.

Keupayaan kewangan kumpulan itu pula dijangka kembali stabil menjelang akhir suku ketiga hasil langkah penyesuaian yang sedang dilaksanakan. Tony optimis bahawa penyata tunai suku ketiga kelak bakal membuktikan AirAsia sebenarnya berada pada kedudukan kewangan yang kukuh dan jauh daripada risiko krisis kecairan.

Membuktikan keyakinan terhadap pemulihan perniagaan kumpulan, AirAsia tetap berpegang pada sasaran untuk membawa 60 juta penumpang pada tahun ini, sebelum melonjak kepada 80 juta penumpang menjelang tahun 2027.