Berkuat kuasa 16 September, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini menyeragamkan caj masuk kenderaan seru-pandu kepada RM2 termasuk cukai di Terminal 1 mahupun Terminal 2.
Berdasarkan notis Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kadar terbaharu ini melaraskan semula caj terdahulu yang dikenakan pada awal Ogos, iaitu RM3 di Terminal 1 dan RM2.16 di Terminal 2. Penurunan caj ini bukan sahaja berupaya meningkatkan kecekapan perkhidmatan, malah memberikan kelegaan daripada sudut kos perkhidmatan kepada kumpulan pemandu.
Pengenalan caj ini secara tidak langsung berjaya membentuk disiplin pemandu dengan lebih konsisten. Hal ini dibuktikan menerusi peningkatan drastik kadar pengambilan penumpang dalam tempoh 10 minit, yang melonjak kepada 99.3% berbanding hanya 49.4% sebelum ini.
Selain itu, kesesakan di lorong pengambilan penumpang turut dapat dikurangkan. Jumlah kenderaan harian yang memasuki kawasan berkenaan mencatatkan penurunan sebanyak 13.5%, iaitu daripada kira-kira 8,124 kenderaan sebelum ini kepada 7,024 kenderaan setakat ini.