Artikel

JPN Mula Perlihat MyKad Versi Baharu – Permohonan Dibuka 17 Sept Ini

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menukar MyKad kepada versi baharu apabila permohonan mula dibuka pada 17 September ini.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan penukaran kad pengenalan yang dilengkapi kira-kira 50 ciri keselamatan tambahan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa. Beliau memberi jaminan bahawa MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk pelbagai urusan harian tanpa sebarang halangan.

Langkah ini diambil bagi mengelakkan kesesakan memandangkan jumlah MyKad aktif yang telah dikeluarkan kini mencecah 24 juta unit, dengan kadar pengeluaran bulanan purata antara 180,000 hingga 200,000 kad. Proses penggantian ini tidak akan menjejaskan transaksi baki akaun atau kelayakan subsidi rakyat yang dipautkan pada dokumen pengenalan diri, kerana seluruh rekod data berkenaan kekal diselaras berdasarkan maklumat kad lama.

Dan ke arah pelaksanaan itu, JPN dilihat telah mula berkongsikan selingan rekaan MyKad baharu pada laman media sosial jabatan.

Dalam perkembangan lain, JPN turut menyerlahkan isu kegagalan pendaftaran kelahiran di negara ini yang masih merekodkan angka membimbangkan, iaitu antara 13,000 hingga 15,000 kes setiap tahun. Masalah ini sebahagian besarnya berpunca daripada kekangan maklumat, kesukaran kewangan, serta isu sosial dan kekeluargaan. Sebahagian masyarakat juga didapati masih menganggap pendaftaran kelahiran sebagai perkara remeh dan kurang penting.