Artikel

AirAsia Dilaporkan Mohon Pinda Syarat Pinjaman $200 Juta – Untuk Stabilkan Aliran Kewangan

AirAsia Group Bhd dilihat terus berdepan tekanan kewangan selepas mencatatkan kerugian dalam dua suku tahun berturut-turut. Punca utama tekanan ini kesan daripada lonjakan harga bahan api berikutan konflik AS-Iran, ditambah pula dengan ketiadaan perlindungan nilai pada operasi.

Untuk mengatasi kemelut ini, AirAsia mengikut laporan memohon untuk meminda syarat-syarat pinjaman kredit swasta bernilai $200 juta (RM814.98 juta) daripada Ares Management Corp dan Indies Capital Partners. Perubahan ini untuk makluman bagi memastikan aliran tunai syarikat dapat diuruskan dengan lebih fleksibel dan stabil.

Langkah utama yang dicadangkan oleh AirAsia adalah berkongsi hasil pendapatan daripada beberapa laluan penerbangan utama dengan syarikat pajakan pesawat. Sebelum ini, pendapatan daripada laluan penerbangan ini dicagarkan sepenuhnya kepada Ares dan Indies untuk bayaran balik pinjaman. Dengan berkongsi hasil ini, syarikat pajakan pesawat akan mendapat jaminan pembayaran sewa – yang sebelum ini berdepan penangguhan.

Secara keseluruhannya, cadangan pinda syarat ini merupakan sebahagian daripada pelan besar AirAsia untuk menyatukan dan menyusun semula hutang mereka ke dalam struktur kos yang lebih rendah serta berjangka masa panjang. Namun, permohonan ini masih tertakluk kepada kelulusan penuh daripada pihak Ares dan Indies, di samping usaha berasingan AirAsia yang sedang mengumpul dana tambahan di pasaran tempatan dan antarabangsa.