Artikel

MAG Sasar Hasil RM25 Bilion, Miliki 117 Pesawat Menjelang 2035

Biarpun berdepan tekanan kos logistik disebabkan ketidaktentuan krisis geopolitik semasa, Malaysia Aviation Group (MAG) kekal optimis meneruskan matlamat pengembangan kumpulan pada pasaran antarabangsa. Antaranya menyasarkan perolehan hasil sekitar RM25 bilion menjelang 2030 – dengan pemilikan 117 pesawat menjelang 2035. 

Rancangan di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0) ini adalah selaras dengan agenda MAG untuk meluaskan kapasiti pesawat badan lebar dan pembukaan destinasi baharu.

Adanya penambahan armada secara berkala ini, ia sekali gus membantu kumpulan mengatasi isu penambahbaikan infrastruktur pesawat terlibat. Setakat ini purata usia armada MAG adalah hampir 12 tahun namun dengan kemasukan pesawat baharu kelak dengan jumlah 11 pesawat pada 2026, usaha ini akan membantu menurunkan purata usia pesawat kepada 4 tahun. Bersama langkah tersebut, ia secara langsung meningkatkan kecekapan operasi dengan memenuhi lebih banyak permintaan penerbangan bahkan turut meningkatkan lagi tahap keselamatan pengguna di pasaran semasa.