Maybank kini mengambil alih sepenuhnya Maybank Ageas Holdings Bhd selepas membeli baki 30.95% kepentingan dalam syarikat berkenaan. Pengambilalihan ini menjadikan syarikat induk yang memayungi jenama insurans dan takaful terkemuka, Etiqa – kini berstatus anak syarikat milik penuh Maybank secara keseluruhan.
Langkah strategik ini dimeterai menerusi perjanjian pembelian saham bersama Ageas Insurance International NV pada 8 September lalu selepas 25 tahun laksana perkongsian strategik. Dengan pemilikan penuh ini, Maybank berhasrat untuk mengukuhkan lagi kedudukan Etiqa di Malaysia dan Singapura, di samping memperluas pasaran perkhidmatannya ke seluruh rantau Asia Tenggara.
Pengambilalihan ini memberi kelebihan besar kepada Etiqa untuk mempercepatkan inovasi produk, memperluas penawaran takaful, serta meningkatkan kecekapan operasinya. Malah, integrasi terus bersama pangkalan data dan ekosistem perbankan Maybank membolehkan Etiqa menawarkan perkhidmatan yang lebih lancar dan menyeluruh kepada pelanggan.
Buat pengetahuan umum, Maybank dan Ageas telah memulakan usahasama strategik sejak tahun 2001. Kesepakatan itu pada awalnya memfokuskan produk insurans secara berasingan, namun bermula 2007, kedua-dua pihak bersetuju menggabungkan semua produk perlindungan di bawah penubuhan jenama Etiqa.