Pengasas bersama Hyrox kini kembali memegang kawalan majoriti dalam syarikat perlumbaan kecergasan tersebut selepas membeli semula saham daripada Infront Sports & Media.
Sebelum ini, Infront memegang sekitar 60% kepentingan majoriti tatkala dua pengasas Hyrox iaitu Christian Toetzke dan Moritz Fürste pula 40%. Hasil perolehan semula majoriti pegangan itu dianggarkan kedua pengasas menambah 11% kepentingan untuk melonjakkan jumlah pemilikan mereka kepada 51%. Langkah ini secara rasminya mengembalikan kawalan majoriti kepada pengasas.
Urus niaga ini untuk makluman menurut Reuters dijayakan menerusi kerjasama dengan konsortium yang diketuai firma ekuiti swasta terkemuka Amerika Syarikat (AS), L Catterton. Walaupun nilai rasmi tidak didedahkan, beberapa laporan media menganggarkan penilaian terkini syarikat berpangkalan di Jerman itu kini mencecah €600 juta mewakili sekitar $698 juta.
Diasaskan pada tahun 2017, Hyrox telah berkembang pantas daripada satu segmen cabaran kecergasan menjadi fenomena sukan global yang popular di media sosial. Sukan ini menggabungkan larian sejauh 1 kilometer bersama pelbagai senaman dalam 8 segmen pertandingan. Sepanjang musim 2025–2026 sahaja, penganjurannya telah berkembang kepada lebih 100 acara yang menarik kehadiran melebihi 1.4 juta peserta dan 1.5 juta penonton di lebih 30 buah negara.
Langkah mengambil semula pemilikan ini dilihat sebagai titik penting bagi fasa pertumbuhan Hyrox seterusnya. Selain meluaskan rangkaian gim rakan kongsi dan program latihan di peringkat antarabangsa, pimpinan Hyrox turut meletakkan sasaran lebih besar untuk membawa sukan berprestij ini diiktiraf serta dipertandingkan di pentas Sukan Olimpik pada edisi 2032 dan 2036.