Artikel

Jurang Prestasi Sekolah Di Malaysia Cuma 17% – KPM Kini Tumpu Modul Perkasa Subjek Lemah

Data Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 mendedahkan bahawa variasi pencapaian akademik antara sekolah di Malaysia hanya berada pada kadar 17%, jauh lebih rendah dan lebih baik berbanding purata negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) iaitu sekitar 30% hingga 40%.

Angka ini untuk makluman membawa mesej penting bahawa ekuiti sistem pendidikan negara berada pada tahap yang sangat memuaskan, di mana perbezaan kualiti antara sekolah harian biasa di kawasan kejiranan dengan sekolah berasrama penuh atau sekolah berprestasi tinggi adalah amat kecil. Ini membuktikan setiap sekolah di seluruh Malaysia mempunyai potensi yang sama rata untuk melahirkan murid cemerlang sekiranya mendapat sokongan padu daripada pengurusan, guru, dan ibu bapa.

Satu cabaran utama yang dikenal pasti dalam laporan tersebut adalah penurunan prestasi murid dalam mata pelajaran Matematik, terutamanya dari segi pemahaman konsep asas dan kemahiran penaakulan logik. Walaupun murid tempatan mahir dalam tugasan pengaturcaraan serta pemodelan atas talian, majoritinya masih bergelut untuk menjelaskan alasan di sebalik jawapan Matematik yang diberikan.

Maka bagi mengatasi isu miskonsepsi ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merangka Modul Miskonsepsi dalam Matematik serta memasukkan Pelan Transformasi Pendidikan Matematik secara berfokus dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.

Tidak hanya itu, penstrukturan semula kepakaran tenaga pengajar di peringkat sekolah juga dilaksanakan. Langkah ini merangkumi penyusunan semula data guru bagi mengatasi masalah ketidakpadanan opsyen iaitu guru Matematik yang ditugaskan mengajar mata pelajaran lain di samping menyediakan latihan semula guru dan khidmat nasihat daripada kumpulan pakar. Melalui pemantapan PdP dan sokongan padu komuniti setempat KPM optimis dapat meningkatkan semula penguasaan Matematik murid serta subjek lain tanpa membelakangkan kesaksamaan kualiti pendidikan yang sedia ada.