Meskipun pasaran mata wang kripto bernilai trilion dolar, golongan yang berjaya mencapai tahap kekayaan tertinggi melalui aset digital ini sebenarnya amat sedikit.
Berdasarkan Crypto Wealth Report 2026 oleh Henley & Partners, hanya terdapat 23 orang bilionair kripto di seluruh dunia. Daripada jumlah yang kecil itu, 9 daripadanya meraih status bilionair secara khusus melalui pelaburan dalam Bitcoin sahaja.
Di bawah kelompok elit ini juga wujud struktur kekayaan yang lebih meluas dengan laporan mencatatkan – seramai 290 individu memiliki sekurang-kurangnya $100 juta, diikuti 135,694 orang pula dikategorikan jutawan kripto di peringkat global. Menariknya, pemilikan aset digital ini dilihat terus berkembang pesat dengan anggaran 742 juta orang di seluruh dunia kini memegang kripto dalam pelbagai jumlah, walaupun harga pasaran mengalami penurunan.

Perkembangan ini turut mendorong persaingan dalam kalangan negara untuk menarik minat golongan kaya ini. Negara-negara seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Hong Kong menduduki tangga teratas sebagai destinasi pilihan pelabur kripto. Tempat-tempat ini menjadi tumpuan utama kerana menawarkan persekitaran cukai yang sangat mesra, seperti tiada cukai keuntungan modal, serta kerangka undang-undang yang jelas.
Secara keseluruhannya, sifat kekayaan kripto yang mudah dipindahkan merentas sempadan telah mengubah cara pelabur memilih tempat tinggal mereka. Walaupun aset digital boleh dibawa ke mana-mana dengan pantas, pemiliknya masih memerlukan negara yang selamat dan mempunyai dasar yang kukuh untuk kehidupan keluarga serta perniagaan mereka.