Sebagai langkah mengembangkan perniagaan di Malaysia, Centurion Corporation iaitu firma pelaburan antarabangsa Singapura dan merupakan antara pengendali penginapan pekerja berpusat terbesar di rantau ini – telah bersetuju membeli blok asrama pekerja di Pasir Gudang, Johor pada nilai RM214.5 juta ($67.2 juta).
Penambahan pengambilalihan di Pasir Gudang ini menurut laporan bakal meningkatkan jumlah katil Centurion di Malaysia sebanyak satu perlima kepada 43,980 katil, yang tersedia di 14 buah aset.
Untuk rekod, aset terbaharu itu terletak di atas dua plot tanah pajakan 60 tahun yang akan tamat pada 31 Mei 2069. Ia merangkumi 444 unit berkonsepkan pangsapuri di dalam 8 blok 5 tingkat dengan keluasan binaan 749,358 kaki persegi, di atas tapak seluas 9.73 ekar, serta mempunyai jumlah kapasiti kelulusan sebanyak 7,974 katil.
Plot tanah pertama telah pun beroperasi dan disewa oleh majikan-majikan dari kawasan perindustrian sekeliling, termasuk pengeluar makanan, bahan kimia dan logam berstatus multinasional, pengendali logistik serta penyedia perkhidmatan. Pembangunan di atas plot tanah kedua pula baru sahaja siap dibina dan bakal disewakan secara berperingkat sebaik sahaja pengambilalihan selesai.
Menurut Centurion, aset tersebut terletak berhampiran kawasan perindustrian Pasir Gudang, sebuah zon pelabuhan dan industri yang strategik, serta berada dalam lingkungan 5 km dari koridor industri berat Tanjung Langsat yang sedang berkembang. Langkah perluasan ini, ia tidak sekadar memberi nilai tambah kepada perolehan Centurion Corp tetapi dijangka meluaskan lagi manfaat kepada ekonomi negeri Johor iaitu sokongan kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).