Artikel

Lebih 6,700 Kes Hilang Pendengaran Direkodkan – Akibat Bunyi Bising Di Tempat Kerja

Ternyata bunyi bising di tempat bekerja telah menyebabkan 6,747 kes kehilangan pendengaran disahkan kalangan pekerja Malaysia. Jumlah ini sekali gus menjadi antara penyakit pekerjaan yang tertinggi direkodkan di Malaysia dengan mewakili 82.3% pada 2024.

Data Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ini menjelaskan sebanyak 11,465 kes telah dilaporkan di seluruh negara di bawah Stastistik Penyakit Pekerjaan Negara 2024 dengan 8,196 kes disahkan penyakit pekerjaan.

Antara faktor penyebab adalah pelaksanaan langkah kawalan tidak dilakukan secara menyeluruh pada setiap peringkat industri. Berdasarkan laporan Penilaian Risiko Bunyi (NRA) didapati hanya 60% cadangan langkah kawalan yang dikemukakan pegawai penilai dilaksanakan oleh pihak industri. Ini berbeza dengan langkah kawalan melibatkan pekerjaan bahan kimia dilaksanakan hampir 80%.

Situasi ini jelas menunjukkan tahap kesedaran berkenaan risiko penyakit pekerjaan di pasaran Malaysia masih lagi tidak memuaskan. Biarpun negara miliki ekosistem perundangan yang baik namun kekangan kesedaran yang baik dilihat tidak akan membantu meningkatkan kualiti ekonomi negara.

Selain pekerja berdepan kehilangan pendengaran, terdapat juga penyakit pekerjaan lain yang direkodkan – antaranya muskuloskeletal pekerjaan atau kecederaan, gangguan pada otot (820 kes), agen fizikal atau terdedah kepada persekitaran fizikal (299 kes), keracunan (203 kes), penyakit kulit (82 kes), penyakit akibat agen biologi atau terdedah kepada bakteria, virus (24 kes), penyakit paru-paru (16 kes), kanser pekerjaan (3 kes) dan gangguan psikososial (2 kes).