Tahun ini, penggunaan elektrik di Malaysia dianggarkan meningkat sekitar 5% berbanding tahun 2025 – susulan faktor cuaca panas dan permintaan pusat data yang terus melonjak.
Data Suruhanjaya Tenaga (ST) yang dikongsikan pada sidang Energy Regulatory Insights (ERI) hari ini turut menjelaskan, penggunaan elektrik oleh pusat data kini mencatatkan kadar sebanyak 9.28%. Peningkatan berkenaan antaranya dipengaruhi oleh sistem penyejukan pusat data yang memerlukan kapasiti tenaga lebih tinggi dalam persekitaran suhu panas.
Berdasarkan unjuran tahunan, ST menjangkakan trend peningkatan penggunaan elektrik akan berterusan sehingga suku keempat tahun ini, namun kekal bergantung kepada persekitaran cuaca semasa. Bagi memastikan kestabilan dan kecukupan bekalan tenaga negara, ST kini melaksanakan perancangan tiga tahun secara bergilir, melibatkan keperluan kapasiti tambahan bernilai 8GW secara kumulatif bagi tempoh 2029 hingga 2031.