Bermula 19 September ini, CIMB Bank akan mewajibkan penggunaan pengesahan SecureTAC bagi semua transaksi atas talian. Langkah ini diambil bagi meningkatkan tahap keselamatan perbankan digital dan melindungi pengguna daripada risiko penipuan serta akses tanpa kebenaran. Pelaksanaan ini termasuklah untuk sebarang urus niaga yang dilakukan menerusi platform CIMB Clicks Web mahupun laman web rakan dagang.
Ciri SecureTAC untuk makluman membolehkan pengguna meluluskan transaksi secara terus melalui Aplikasi CIMB OCTO pada peranti utama mereka. Bagi melengkapkan proses pengesahan ini, pengguna hanya perlu menggunakan pengesahan biometrik seperti Face ID dan imbasan cap jari, atau memasukkan kod laluan peranti.
Maka bagi memastikan kelancaran urus niaga, semua pengguna dinasihatkan untuk mengaktifkan fungsi biometrik atau kod laluan pada peranti masing-masing secepat mungkin. Ini kerana pengguna yang belum membenarkan ciri keselamatan ini akan menerima mesej ralat dan tidak dapat meluluskan transaksi apabila percubaan dibuat. Langkah pemerkasaan keselamatan ini dijangka dapat memberikan pengalaman perbankan yang lebih selamat, pantas, dan meyakinkan buat seluruh pengguna CIMB.