Artikel

Kad Debit Visa AFFIN Selangor Kini Dilancarkan – Khas Buat Warga Selangor

AFFIN hari ini secara rasminya melancarkan Kad Debit Visa AFFIN Selangor sebagai langkah memperkukuh kerjasamanya selaku Rakan Perbankan Selangor FC.

Pelancaran kad debit ini bertujuan membawa semangat dan identiti negeri Selangor lebih dekat dengan pelanggan. Diinspirasikan daripada rekaan helang laut perut putih, kad ini mencerminkan lambang kekuatan, ketahanan, serta aspirasi komuniti Selangor di samping menyediakan penyelesaian perbankan harian yang lebih bernilai.

Kad debit eksklusif ini untuk makluman menawarkan pelbagai faedah praktikal, antaranya pengecualian yuran tahunan kad debit seumur hidup untuk semua pemegang kad. Selain itu, kad ini diintegrasikan secara penuh dengan aplikasi AffinAlwaysX bagi membolehkan pengguna menikmati kemudahan perbankan digital tanpa sempadan. Pengguna juga boleh memantau transaksi secara masa nyata, menerima notifikasi serta-merta, dan menggunakan alat perbelanjaan pintar untuk mengawal kewangan pada bila-bila masa.

Menariknya, kad ini turut menawarkan keistimewaan rentas sempadan hasil kerjasama antara AFFIN dan PT Bank Central Asia Tbk (BCA) Indonesia. Yang mana pemegang kad boleh menikmati ketersambungan perkhidmatan perjalanan yang mudah semasa berada di Indonesia. Ini termasuklah akses mudah kepada perkhidmatan Wi-Fi, kad SIM, dan eSIM menerusi penyedia perkhidmatan JavaMifi.

Maka bagi pengguna yang berminat, permohonan Kad Debit Visa AFFIN Selangor ini dijelaskan terbuka khas buat individu berumur 18 tahun ke atas yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan. Antaranya termasuklah anak kelahiran Selangor (berdasarkan nombor 10 pada MyKad), pelajar berserta penuntut universiti di Selangor, atau individu yang mempunyai alamat kediaman mahupun pejabat di negeri tersebut.

Permohonan boleh dibuat menerusi laman web rasmi AffinAlways atau di mana-mana cawangan AFFIN berdekatan.