Berkuat kuasa hari ini, IKEA Malaysia mengumumkan pelantikan Takeshi Murai selaku Pengarah Runcit Negara – bagi menggantikan Malcolm Pruys yang telah menerajui IKEA Malaysia sejak September 2022.
Buat pengetahuan umum, Murai telah memiliki pengalaman hampir 20 tahun bersama IKEA di Asia dan Eropah. Ini merangkumi pengalaman di Jepun, Sweden, Finland dan Malaysia. Untuk pasaran Malaysia, Murai pernah menggalas peranan selaku Pengurus Gedung IKEA di Batu Kawan pada 2024, sebelum mengambil alih pengurusan gedung-gedung IKEA di Lembah Klang.
Dengan kemahiran dan pengalaman pengurusan, lantikan beliau dalam menerajui IKEA Malaysia dilihat sebagai satu langkah strategik kumpulan untuk mencapai prestasi pertumbuhan yang lebih baik. Antara tumpuannya adalah pembukaan cawangan IKEA Kuching yang dijangka dapat direalisasikan pada Disember 2026 ini selain meluaskan lagi akses konsep mampu-milik kalangan pengguna Malaysia.