Artikel

CIMB Untung RM3.85 Bilion – Kekal Stabil Pada Separuh Pertama 2026

CIMB Group (CIMB) merekodkan prestasi kewangan yang berdaya tahan pada suku kedua tahun 2026 (2Q26) apabila untung bersihnya meningkat 1.2% suku-ke-suku kepada RM1.94 bilion. Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi kukuh merentasi semua unit perniagaan serta peningkatan pendapatan keseluruhan sebanyak 2.8% kepada RM5.56 bilion.

Peningkatan pendapatan bukan faedah (NOII) yang naik 6.0% kepada RM1.83 bilion serta kawalan kos operasi yang lebih cekap turut menjadi pemacu utama keputusan positif bagi suku tersebut.

Dengan prestasi sedemikian, secara keseluruhannya bagi separuh pertama tahun 2026 (1H26) – CIMB mencatatkan jumlah untung bersih kira-kira RM3.85 bilion, kekal stabil dan hampir sejajar berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas. Susulan prestasi berdisiplin ini, Kumpulan mengisytiharkan dividen interim pertama tunai sebanyak 19.65 sen sesaham. Ini melibatkan kadar pembayaran dividen konsisten sebanyak 55%, dengan jumlah keseluruhan agihan dividen mencecah RM2.1 bilion untuk para pemegang saham.

Langkah hadapan CIMB merancang akan terus menumpukan kepada pelaksanaan strategi Forward30, termasuk memanfaatkan peluang perniagaan rentas sempadan di rantau ASEAN, memperluas zon ekonomi khas, serta memperkasakan inovasi perbankan digital bersama TNG Group dan projek tokenisasi sukuk negara.