Bermula 18 Oktober ini, Batik Air akan membuka laluan penerbangan terus Batam-Pulau Pinang sekali gus membuka akses baharu kepada Pulau Pinang untuk meneroka pasaran pelancongan di Kepulauan Riau, Indonesia.
Laluan ini untuk makluman merupakan penerbangan terus berjadual pertama menghubungkan Batam dengan Pulau Pinang yang akan beroperasi 3 kali seminggu.
Batam, yang terletak kira-kira 30 kilometer di selatan Singapura merupakan antara pusat ekonomi, perindustrian, perdagangan dan pelancongan penting di Kepulauan Riau serta mempunyai kedudukan strategik dalam hubungan serantau Malaysia, Indonesia dan Singapura. Dengan akses tersebut, perluasan laluan ini akan merancakkan lagi arena perdagangan Malaysia bersama pasaran serantau.
Untuk pengetahuan umum, bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 sahaja, sebanyak 201,657 pelancong Indonesia telah direkodkan memasuki Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berbanding 192,823 orang bagi tempoh sama tahun lepas, meningkat 4.58%. Maka perluasan laluan itu dijangka dapat memberi nilai tambah kepada pasaran Malaysia secara berkala di pasaran hadapan kelak.