Artikel

Visa Malaysia Lancarkan Pelan Hala Tuju Keselamatan 2026-2028 – Atasi Risiko Digital

Visa, peneraju pembayaran global hari ini secara rasminya melancarkan Pelan Hala Tuju Keselamatan Malaysia 2026-2028 bagi memperkukuh ketahanan ekosistem pembayaran negara.

Pelan strategik edisi ketiga ini menggariskan 6 keutamaan teras merangkumi pengukuhan keselamatan siber bersama rakan industri dan perbankan, peralihan pengesahan akses kewangan menerusi biometrik dan aplikasi, menggalakkan pembayaran bertoken, meningkatkan pematuhan kewangan, serta memperluas ekosistem pembayaran berasaskan kecekapan kecerdasan buatan (AI). Langkah ini diambil bagi mendepani landskap ancaman siber yang kini semakin kompleks berasaskan teknologi AI, automasi, dan sindiket penipuan yang semakin terancang.

Ketua Bahagian Risiko Singapura, Malaysia, Thailand & akaun Global Visa, Vishal Patwari

Buat pengetahuan umum, pelancaran ini merupakan kesinambungan daripada edisi terdahulu yang diperkenalkan pada tahun 2019 dan 2023. Bagi menyokong usaha ini di peringkat global, Visa telah melabur lebih daripada US$12 bilion dalam teknologi sepanjang lima tahun lalu untuk mengurangkan risiko penipuan dan meningkatkan keselamatan rangkaian pembayarannya.

Pembaharuan pelan ini bertepatan dengan trend penipuan semasa yang melangkaui penggunaan akses tanpa kebenaran, terutamanya selepas rakyat Malaysia mencatatkan kerugian sebanyak RM2.97 bilion akibat penipuan kewangan pada tahun 2025 – angka tahunan tertinggi dalam tempoh 3 tahun.

Perkembangan membimbangkan ini menegaskan keperluan mendesak untuk memperkukuh keselamatan siber seiring dengan pertumbuhan pantas ekonomi digital negara merentasi pelbagai segmen.