Artikel

Pendapatan Catcha Digital Melonjak 114% – Kepada RM47.69 Juta

Separuh pertama 2026 memperlihatkan Catcha Digital raih prestasi yang positif pada aliran kewangan kumpulan – apabila pendapatan melonjak 114% kepada RM47.69 juta. Kedudukan ini turut merangkumi peningkatan 80% pada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM8.69 juta. Diikuti keuntungan selepas cukai pula turut meningkat 14% kepada RM3.64 juta.

Berlandaskan prestasi itu, media digital dilihat menjadi antara penyumbang utama dengan RM46.41 juta pada separuh pertama 2026. Ini merangkumi pertumbuhan positif kalangan beberapa jenama media seperti WeirdKaya, OhMedia, The Reporter dan Careta.

Tatkala meraih prestasi positif, Catcha Digital dilihat kekal berdepan kerugian berkanun sekitar RM1.69 juta disebabkan caj bukan tunai dan kos berkaitan peralihan 8 perniagaannya dalam tempoh 15 bulan. Fasa ini kelak dijangka akan memberi pulangan kepada kumpulan pada separuh kedua 2026 kelak. Buat pengetahuan umum, selain portfolio media digital – Catcha Digital turut mengendalikan segmen B2B dan penyelesaian teknologi pada pasaran tempatan.